Apakah Yang Kita Benar-benar Tahu Tentang Kelaziman Pemerdagangan Manusia?

24 September 2018

Claire Healy  | Research Officer, International Centre for Migration Policy Development

Sebagai penyelidik pemerdagangan manusia, orang sering bertanya kepada saya tentang angka berkenaan tahap pemerdagangan manusia. Lebih-lebih lagi apabila kita membincangkan penyelidikan baharu tentang bentuk khusus bagi pemerdagangan atau pemerdagangan dalam rantau tertentu, persoalan tentang kelaziman sentiasa timbul dan kecenderungan untuk bergantung pada “data keras” nampaknya lebih besar daripada maklumat yang bersifat nuansa dan kualitatif dan pemahaman yang menyeluruh tentang pendorong terhadap fenomena ini.


Pasar yang sibuk di Mandai, Pune, India. Unsplash/Atharva Tulsi

Menurut bahan berita tentang Laporan Global berkenaan Pemerdagangan Manusia 2016 Pejabat UN tentang Dadah dan Jenayah: “Kanak-kanak menyumbang kepada hampir 1/3 daripada semua mangsa pemerdagangan manusia di seluruh dunia.”

Laporan TIP 2017 Jabatan Negara AS menyebut bahawa “kebanyakan statistik global yang paling kerap dipetik tentang pemerdagangan manusia menunjukkan bahawa lelaki dan budak lelaki mewakili hampir separuh daripada jumlah bilangan mangsa pemerdagangan manusia.”

Taklimat daripada Perkhidmatan Penyelidikan Parlimen Eropah (EPRS) menyatakan bahawa “data tentang kelaziman jenayah ini menunjukkan bahawa majoriti mangsa ialah wanita dan budak perempuan.”

Bahan berita Majlis Eropah membentangkan LaporanUmum Ke-7 bagi Kumpulan Pakar Tindakan Menentang Pemerdagangan Manusia pada 2018 menyatakan bahawa “di beberapa negara, eksploitasi buruh telah mengambil alih eksploitasi seksual sebagai bentuk utama pemerdagangan manusia.”

Daripada petikan ini, kita boleh simpulkan bahawa hampir 1/3 daripada semua mangsa pemerdagangan di seluruh dunia ialah kanak-kanak, bahawa hampir separuh daripada semua mangsa ialah lelaki dan budak lelaki, bahawa majoriti bagi semua mangsa pemerdagangan ialah wanita dan budak perempuan, dan bahawa, di sesetengah negara, pemerdagangan untuk eksploitasi buruh kini menjadi lebih biasa berbanding dengan eksploitasi seksual.

Walau bagaimanapun, tiada satu pun adalah benar. Atau lebih tepat lagi, kami tidak tahu sama ada mana-mana daripada perkara tersebut adalah benar. Kenapa? Hal ini demikian kerana semua kenyataan di atas merujuk kepada komposisi subkumpulan kes pemerdagangan dan orang yang diperdagangkan yang menjadi perhatian pihak berkuasa atau pembekal perkhidmatan lain. Mereka tidak merangkumi semua orang yang diperdagangkan yang belum dikenal pasti.

Walaupun kami cuba untuk memahami perkadaran orang yang diperdagangkan yang merupakan budak perempuan, budak lelaki, wanita dan lelaki, subkumpulan orang diperdagangkan yang dikenal pasti ini tidak mewakili rentas bahagian. Mereka merupakan jenis orang dan bentuk pemerdagangan yang paling berkemungkinan dapat dikenal pasti oleh pihak berkuasa dan NGO dan dianggap sebagai terdedah kepada pemerdagangan.

Di Eropah, perkadaran yang lebih besar bagi wanita yang diperdagangkan untuk eksploitasi seksual telah dikenal pasti, sementara di Sub-Sahara di Afrika, perkadaran lebih besar bagi kanak-kanak yang diperdagangkan untuk eksploitasi buruh telah dikenal pasti. Adakah ini bermakna bahawa ini merupakan bentuk pemerdagangan dan profil mangsa dengan insiden yang tertinggi di rantau masing-masing? Atau adakah ini menunjukkan bahawa pihak berkuasa dan NGO Eropah menumpukan usaha antipemerdagangan mereka terhadap wanita yang dieksploitasi secara seksual dan pihak berkuasa dan NGO Sub-Sahara di Afrika menumpukan usaha mereka terhadap eksploitasi buruh kanak-kanak?

“Data keras” dan statistik tentang pemerdagangan, walaupun dikumpulkan secara sistematik, boleh dipercayai, saling boleh dikendalikan dan boleh dibandingkan sepenuhnya, merupakan petunjuk bagi respons antipemerdagangan dalam bidang kuasa atau rantau tertentu, bukan kelaziman fenomena pemerdagangan.

Taklimat EPRS yang dirujuk di atas menunjukkan bahawa “pemerdagangan manusia […] sedang meningkat disebabkan oleh peningkatan mobiliti, pembangunan teknologi baharu serta melibatkan risiko yang rendah dan keuntungan yang tinggi secara umumnya.” Menurut Majlis Eropah, “pemerdagangan untuk eksploitasi buruh sedang meningkat di seluruh Eropah.” Jadi, adakah pemerdagangan manusia sebenarnya sedang meningkat?

Kami juga tidak pasti. Jika kita melihat pada semua statistik yang berpotensi tentang pembangunan insan di peringkat global, nampaknya sukar diterima akal bahawa eksploitasi akan meningkat dan bukannya merosot. Akan tetapi, selain andaian yang munasabah ini, saya tidak berani menyatakan respons yang lebih tepat bagi soalan tersebut.

Perkara yang sedang meningkat ialah penerimaan undang-undang dan dasar yang mentakrifkan, menjadikan jenayah dan memerangi pemerdagangan semenjak pelaksanaan Protokol Pemerdagangan Manusia UN pada tahun 2003. Yang peliknya, peningkatan dalam undang-undang antipemerdagangan telah dilihat sebagai menunjukkan peningkatan dalam pemerdagangan.

Kita perlu jujur tentang sejauh mana yang kita tahu dan tidak tahu serta berusaha untuk mengelakkan pergantungan dalam kalangan petindak dasar, media dan orang awam secara umumnya terhadap “data kertas”.

Percubaan sedang dijalankan untuk mengukur “angka yang tersembunyi” bagi pemerdagangan manusia. Ini termasuk usaha oleh organisasi dan yayasan antarabangsa untuk menggunakan pangkalan data dan metodologi kaji selidik sedia ada untuk menganggarkan jumlah seperti Inisiatif Data tentang Perhambaan Moden, Penilaian Tahap Pemerdagangan di EU, Anggaran Global Perhambaan Moden dan Indeks Perhambaan Global 2016, serta berbilang anggaran sistem yang menggunakan senarai orang yang diperdagangkan yang dikenal pasti di peringkat kebangsaan.

Disebabkan oleh perbezaan antara kes pemerdagangan yang dikenal pasti secara rasmi dengan kelaziman sebenar serta kecenderungan petindak di pelbagai peringkat untuk mengelirukan pengenalpastian kelaziman, ruangan saya yang akan datang akan menekankan kepentingan utama penyelidikan kualitatif tentang pemerdagangan.

Saya akan menyokong keutamaan penyelidikan kualitatif untuk cuba memahami fenomena pemerdagangan dan eksploitasi, berbanding dengan terlalu menekankan kepentingan data kuantitatif. Saya akan berkongsi penemuan penyelidikan kualitatif yang saya dan rakan sekerja telah jalankan di Pusat Pembangunan Dasar Penghijrahan Antarabangsa dan menilai implikasi penemuan penyelidikan ini dalam mencegah pemerdagangan dan eksploitasi.

Platform ini berpotensi untuk menyumbang kepada pemahaman yang lebih tepat tentang eksploitasi dan pemerdagangan. Ruangan pertama ini sebenarnya merupakan seruan agar kejujuran, rendah hati dan komitmen dijadikan asas dalam menambah baik pangkalan pengetahuan untuk mencegah pelanggaran hak kemanusiaan ini dengan lebih baik. Kita perlu jujur tentang sejauh mana yang kita tahu dan tidak tahu serta berusaha untuk mengelakkan pergantungan dalam kalangan petindak dasar, media dan orang awam secara umumnya terhadap “data kertas”.

Claire Healy ialah Pegawai Penyelidikan untuk Program Antipemerdagangan ICMPD dan pengarang Menyasarkan Kelemahan: Kesan Perang Syria dan Situasi Pelarian terhadap Pemerdagangan Manusia.

Artikel ini telah disediakan oleh Claire Healy sebagai sumbangan kepada Delta 8.7. Seperti yang diperuntukkan dalam Terma dan Syarat Penggunaan Delta 8.7, pendapat yang diluahkan dalam artikel ini merupakan pendapat pengarang dan tidak semestinya mencerminkan pendapat UNU atau rakan kongsinya.

Forum Delta 8.7
Penguatkuasaan Undang-undang

Menggalakkan Pengaliran Maklumat untuk Mencapai Sasaran 8.7

Luis Fabiano de Assis
Teruskan Membaca
Keadilan Antarabangsa

Mencipta Rang Undang-undang Perhambaan Moden Kanada

John McKay
Teruskan Membaca
Sokongan Orang yang Selamat dan Mangsa

Menyokong Hak Orang yang Terselamat di Nepal

Sunita Danuwar
Teruskan Membaca

Breaking the Vicious Circle: Climate Change, Environmental Destruction and Contemporary Slavery

Teruskan Membaca

AI for Good: Using AI to Prevent Modern Slavery, Human Trafficking and Forced and Child Labour

Ben Harris
Teruskan Membaca

Symposium: Gendered Measurements of Exploitation and its Impact on Survivors

Teruskan Membaca
Tag