Menggalakkan Pengaliran Maklumat untuk Mencapai Sasaran 8.7

7 Februari 2019

Luis Fabiano de Assis  | Chief Research and Data Officer, the Brazilian Federal Labor Prosecution Office

Untuk menentang buruh paksa, perhambaan moden, pemerdagangan manusia dan buruh kanak-kanak dengan berkesan, penguatkuasaan undang-undang perlu melangkaui penyiasatan tradisional. Dengan memanfaatkan kuasa teknik data besar (big data), mereka boleh menentukan titik panas bagi eksploitasi dan menambah baik peruntukan sumber. Kerajaan boleh mengadakan instrumen undang-undang bagi menggalakkan pengaliran maklumat yang lebih berkesan antara pertubuhan swasta dan awam yang berkongsi beban tanggungjawab untuk menamatkan pelanggaran hak asasi manusia ini. Selain itu, kebanyakan perniagaan mengesahkan bahawa pelanggaran hak asasi manusia boleh menjejaskan kredibiliti dan reputasi mereka, memandangkan risiko menamakan dan memalukan yang dihadapi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, yang boleh menyebabkan tindakan balas oleh pengguna dan pasaran dan cenderung untuk mencari jalan berkongsi maklumat untuk mencegah sebarang potensi tindakan balas orang awam.

Dengan pengetahuan ini, Pejabat Pendakwaan Buruh Persekutuan (FLPO) di Brazil telah menubuhkan kumpulan kerja pendakwa yang ditugaskan untuk menggalakkan pencapaian Sasaran 8.7 dengan cara yang menghubungkan keperluan bagi ketelusan yang lebih baik di institusi awam, pematuhan undang-undang buruh yang lestari dan pentadbiran korporat yang lebih baik sambil memahami bahawa sektor kewangan juga mempunyai peranan untuk dimainkan. Kumpulan kerja itu bertujuan untuk menyekat orang dan syarikat yang telah melanggar undang-undang buruh dengan lebih berkesan dan mengadakan langkah-langkah pencegahan yang dibangunkan bersama dengan pemegang kepentingan awam dan swasta bagi melindungi hak asasi manusia di tempat kerja

Menumpukan pada cara perniagaan, institusi sektor kewangan dan rantaian nilai berkongsi data serta maklumat, sesetengah inisiatif yang dibangunkan oleh kumpulan kerja itu menggunakan “Senarai Kotor,” Brazil yang sejak 2004, membolehkan tindakan memalukan syarikat atau individu yang terlibat dalam perhambaan moden secara umum. Mereka yang berada dalam Senarai Kotor itu berhadapan dengan tindakan yang antara lain, termasuk aset mereka dibekukan, dinafikan subsidi kerajaan dan tidak layak untuk tender bagi projek kerajaan.

Pengaliran maklumat. Pengarang tidak diketahui/Pixabay.

Pada tahun 2010, kerajaan telah meluluskan undang-undang yang melarang bank daripada memberi kredit luar bandar kepada syarikat dan individu yang berada dalam Senarai Kotor. Bagi memastikan pematuhan, rekod daripada Senarai Kotor itu—termasuk nama dan nombor pengenalan peribadi serta korporat—mesti disemak dengan institusi kewangan semasa semakan profil dan sebagai sebahagian daripada proses membuat keputusan sama ada untuk memberikan kredit dan perkhidmatan kewangan lain kepada klien. Walau bagaimanapun, penyiasatan FLPO mendapati bahawa institusi kewangan kerap gagal untuk mengikuti prosedur ini, mengeluarkan kredit kepada institusi dan individu yang berada dalam Senarai Kotor.

Ini menyebabkan FLPO memfailkan tindakan undang-undang terhadap Bank Negara Brazil, meminta pengenalan segera bagi semua institusi kewangan yang melanggar undang-undang tersebut. Mahkamah telah memutuskan bahawa semua data berkenaan transaksi kredit yang melibatkan nama pada Senarai Kotor itu mesti diserahkan kepada pendakwa. Analisis data yang dilakukan oleh FLPO bagi transaksi tersebut mendapati bahawa sekurang-kurangnya 10 institusi kewangan telah membekalkan kredit kepada individu dan organisasi yang dinamakan dalam Senarai Kotor itu, menyebabkan tindakan undang-undang dan penyiasatan lanjut.

Berikutan saranan daripada FLPO, National Development Bank of Brazil (BNDES) menukar sistem pengumpulan datanya untuk menyertakan pemantauan automatik yang bertujuan mencegah pendaftaran dan kredit bagi mereka yang berada dalam “Senarai Kotor.” FLPO kini sedang mengadakan perbincangan dengan bank utama Brazil untuk membincangkan penambahbaikan kepada sistem kredit yang dapat membantu mencegah pelaku pelanggaran undang-undang buruh dan hak asasi manusia daripada mendapat manfaat daripada sebarang jalan keluar atau kegagalan perkongsian data. Usaha ini dikuatkan lagi oleh saranan mengatasi pemerdagangan yang dikeluarkan oleh Pasukan Bertindak Sektor Kewangan (FATF) Brazil dan institusi bersekutu, seperti Majlis bagi Kawalan Aktiviti Kewangan (COAF) Brazil, yang secara konsisten menambah baik model untuk memantau pengaliran kewangan yang mencurigakan dan bekerjasama dengan FLPO.

Pengaliran maklumat dan data yang baik juga penting berhubung dengan pasaran saham, yang dapat menyumbang kepada pencapaian Sasaran 8.7 dan melindungi pelabur serta ekonomi secara keseluruhan. Sebagai contoh, berdasarkan permintaan terdahulu daripada FLPO tentang sektor pembungkusan daging, “Comissão de Valores Mobiliários” (CVM) Brazil—setara dengan Suruhanjaya Bursa dan Saham Amerika Syarikat—telah menambah baik sistem pengumpulan datanya dan keperluan bagi semua maklumat relevan yang perlu dilaporkan oleh syarikat kepada pelabur mereka. Hasilnya, syarikat kini dijangka akan menambah baik mekanisme usaha wajar hak asasi manusia mereka dan berkewajipan untuk memaklumkan pasaran jika mereka menghadapi tindakan undang-undang berkenaan pelanggaran undang-undang buruh.

Pendekatan yang diambil oleh FLPO boleh digunakan di tempat lain dan FLPO telah mengambil bahagian dalam perbincangan kebangsaan dan antarabangsa tentang penggunaan data di seluruh agensi dan pertubuhan. Sebagai contoh, FLPO telah mengambil bahagian dalam acara “Memutuskan rantaian kewangan: mengganggu pengaliran kewangan yang dikaitkan dengan perhambaan, pemerdagangan manusia, buruh paksa dan buruh kanak-kanak”, dianjurkan oleh Universiti Bangsa-bangsa Bersatu pada tahun 2017. Daripada acara ini, 25 saranan telah dibentangkan dalam laporan akhir dan FLPO sudah pun melaksanakan 17 daripada saranan itu di Brazil dan meminta pertubuhan lain untuk berbuat demikian.

Seperti yang telah ditunjukkan oleh FLPO di Brazil, membuat data dan maklumat mengalir dengan cara baharu dapat membantu mencapai Sasaran 8.7 Matlamat Pembangunan Lestari.

Luis Fabiano de Assis ialah seorang Pendakwa Persekutuan, Ketua Pegawai Penyelidikan & Data di Pejabat Pendakwaan Buruh Persekutuan (FLPO – Ministério Público do Trabalho, MPT, dalam bahasa Portugis) dan Profesor Undang-undang & Dasar di Sekolah Kebangsaan bagi Pendakwa Raya. Beliau juga ketua Smartlab Initiative.

Artikel ini telah disediakan oleh Luis Fabiano de Assis sebagai sumbangan kepada Delta 8.7. Seperti yang diperuntukkan dalam Terma dan Syarat Penggunaan Delta 8.7, pendapat yang diluahkan dalam artikel ini merupakan pendapat pengarang dan tidak semestinya mencerminkan pendapat UNU atau rakan kongsinya.

Forum Delta 8.7
Kaedah Pengukuran dan Statistik

Evolusi Laporan Global UNODC tentang Pemerdagangan Manusia

Fabrizio Sarrica
Teruskan Membaca
Penguatkuasaan Undang-undang

Menggalakkan Pengaliran Maklumat untuk Mencapai Sasaran 8.7

Luis Fabiano de Assis
Teruskan Membaca
Keadilan Antarabangsa

Mencipta Rang Undang-undang Perhambaan Moden Kanada

John McKay
Teruskan Membaca
Sokongan Orang yang Selamat dan Mangsa

Symposium: Addressing Modern Slavery’s Root Causes

Nat Paul
Teruskan Membaca
Kaedah Pengukuran dan Statistik

A Tool for Health Professionals to Gather Data on Forced Labour and Human Trafficking

Teruskan Membaca
Penguatkuasaan Undang-undang

Creating an Effective, Collaborative Human Trafficking Response with the Available Resources in Rural Communities

Teruskan Membaca
Tag